Thursday, May 17, 2012

Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam

Merujuk artikel karangan Hafiz Firdaus Abdullah seperti di bawah.
Terdapat tiga cara utama untuk mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala apabila berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat yang duduk dalam kategori pertama ini. Sebelum menyenaraikan cara-cara tersebut, ingin saya tegaskan bahawa seseorang itu hendaklah terlebih dahulu memastikan bahawa sesuatu kepelbagaian pendapat tersebut benar-benar duduk dalam kategori pertama ini. Jika ragu-ragu atau tidak pasti, cara-cara yang bakal disenaraikan di bawah tidak boleh dipraktikkan.

Pertama: Menerima Dan Mempraktikkan Semua Pendapat.
Jika di dalam sesuatu perkara terdapat kepelbagaian pendapat, hendaklah diterima dan dipraktikkan semua pendapat yang wujud dalam kepelbagaian tersebut. Tidak boleh menerima satu pendapat sahaja kerana ia bererti menyempitkan sesuatu yang luas. Tidak boleh mempraktikkan satu pendapat sahaja kerana ia akan memberi sangkaan kepada orang awam bahawa dalam perkara tersebut hanya ada satu pendapat. Malah, sangkaan tersebut akan beralih kepada satu keyakinan palsu bahawa hanya apa yang dipraktikkan adalah betul manakala praktik lain adalah salah.

Kedua: Memberi Prioriti Kepada Usaha Lain Yang Lebih Penting.
Tidak dinafikan bahawa di dalam sesuatu kepelbagaian pendapat, seorang itu mampu mengkaji dan mengunggulkan satu pendapat yang paling kuat (rajih). Akan tetapi apa yang dianggap kuat olehnya mungkin dianggap lemah (marjuh) oleh orang yang lain dan demikianlah sebaliknya. Perkara ini, yakni timbul tenggelam antara rajih dan marjuh, tidak pernah akan mengenal titik noktah.
Maka apabila berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat yang duduk dalam kategori pertama ini, seseorang itu hendaklah mempraktikkan Fiqh al-Awlawiyyat. Fiqh al-Awlawiyyat ialah memberi prioriti kepada perkara yang sememangnya memerlukan prioriti mengikut tempat, masa dan keadaan. Seorang muslim yang cemerlang, hebat dan mengharapkan rahmat Allah bukanlah terdiri daripada mereka yang melakukan amalan sesuka hatinya, akan tetapi adalah mereka yang mampu menilai antara beberapa amalan yang ada, manakah yang patut diberi tumpuan demi manfaat untuk seluruh umat Islam.
Memerah fikiran dan mengembeling tenaga untuk membeza antara yang rajih dan marjuh bagi sesuatu kepelbagaian pendapat yang duduk dalam kategori pertama tidak sepatutnya menjadi prioriti seorang muslim yang hendak mencari rahmat Allah pada masa dan zaman kini. Terdapat banyak isu lain yang sepatutnya diberi prioriti, seperti membanteras bid‘ah, membetulkan penyelewengan agama oleh golongan Islam Liberal, Syi‘ah, Orientalis dan media, berdakwah kepada golongan bukan Islam dan melakukan amar ma’ruf serta nahi mungkar.

Ketiga: Memberi Tumpuan Kepada Pendapat Yang Lebih Memudahkan.
Seandainya di dalam sesuatu kepelbagaian terdapat pendapat atau hukum yang lebih memudahkan umat Islam, hendaklah diberi tumpuan kepada pendapat atau hukum tersebut. Ini disebut sebagai Fiqh al-Taysir dan ia memang selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Dalam al-Qur’an umpamanya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengajar kita sebuah doa yang berbunyi:
لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى
الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (٢٨٦)
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengira kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah berpesan:
يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا.
Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan.
Contoh pendapat yang lebih mudah dalam kepelbagaian pendapat yang dibenarkan adalah syarat yang membolehkan seseorang itu mempraktikkan hukum-hukum musafir. Secara umumnya pendapat tentang syarat-syarat boleh dibahagikan kepada dua:
Pendapat Pertama adalah yang meletakkan jarak minima dan tempoh maksima sebelum seseorang itu dapat mempraktikkan hukum-hukum musafir. Pendapat ini seterusnya terbahagi kepada beberapa pendapat yang lain. Masyhur di Malaysia, jarak minima ditetapkan sebagai 90 kilometer manakala tempoh maksimun ialah 3 hari. Jika seseorang itu membuat satu perjalanan yang melebihi 90 kilometer dan keseluruhan perjalanan itu pula kurang daripada 3 hari, maka dia boleh mengqasarkan solatnya dan berbuka jika dia sedang berpuasa.
Pendapat Kedua adalah yang tidak meletakkan apa-apa jarak minima atau tempoh maksima. Asalkan seseorang itu membuat satu perjalanan yang melebihi kebiasaan dan tidak berniat untuk menetap dalam perjalanan tersebut, dia boleh mengqasarkan solatnya dan berbuka jika dia sedang berpuasa.
Jika dianalisa, Pendapat Kedua adalah lebih memudahkan dan mendekati tujuan syari‘at Islam yang ingin mengelakkan kesukaran bagi seorang yang sedang bermusafir. Ini kerana individu yang berlainan akan menghadapi kadar kesukaran yang berbeza antara satu sama lain dalam perjalanan yang saling berlainan. Menetapkan syarat yang sama bagi semua individu dalam semua perjalanan menjauhi tujuan syari‘at di sebalik hukum musafir itu sendiri.

Adakalanya sebahagian orang keberatan untuk menyampaikan sesuatu yang memudahkan umat kerana sikap berhati-hati dan bimbang kemudahan tersebut akan diperlecehkan oleh masyarakat. Keberatan ini tidak sepatutnya timbul kerana dua sebab:
1. Sikap berhati-hati memang baik, namun hendaklah juga berhati-hati agar sikap tersebut tidak diletakkan pada tempat yang salah. Dalam kes ini, sikap berhati-hati tidak boleh dijadikan alasan untuk menyembunyikan sesuatu yang mudah kerana kemudahan itu sendiri merupakan roh atau tujuan syari‘at Islam. Menyembunyikan sesuatu yang mudah bererti menyembunyikan Islam yang sebenar dan seseorang itu lebih patut berhati-hati daripada melakukan kesalahan seumpama ini.
2. Orang yang memperlecehkan hukum agama bukanlah mereka yang mempraktikkan kemudahan agama secara berlebih-lebihan, akan tetapi adalah mereka yang tidak mempraktikkan apa-apa hukum agama. Oleh itu tidak perlu bimbang akan kemungkinan sesuatu kemudahan agama akan diperlecehkan oleh masyarakat. Malah sesuatu yang lebih patut dibimbangkan ialah, kenapa sebahagian masyarakat tidak mempraktikkan apa-apa hukum agama? Mungkinkah, saya ulang: mungkinkah salah satu daripada faktor utama adalah kerana mereka selama ini dipaksa dengan pelbagai hukum yang berat dan azab yang menakutkan sehingga akhirnya mereka berputus asa dan menjauhkan diri daripada agama? Saya buka soalan ini untuk renungan para pembaca sekalian.
hadis: (1) Menunaikan tanggungjawab dakwah iaitu menyeru kepada perkara ma'aruf dan mencegah kemungkaran adalah suatu kewajipan ke atas seorang mukmin yang tidak harus dipandang enteng, kerana kecelakaan akan menimpa seluruh umat sekiranya kemungkaran dibiarkan terus merebak. (2) Barangsiapa yang melihat suatu kemungkaran berlaku di depan matanya, dan dia berkuasa mencegahnya sama ada dengan tangannya atau dengan lidahnya maka dia berkewajipan mencegah kemungkaran tersebut. Dia berdosa membiarkan kemungkaran tersebut berlalu tanpa sebarang tindakan atau percubaan mahu mencegahnya, kecuali kalau dia tidak mampu atau kerana dibimbangi akan membawa kemudharatan kepada dirinya apabila dia mencegah mungkar itu. (3) Mencegah mungkar hanya dengan hati, iaitu dengan membencinya dan berazam mahu mencegahnya pada suatu masa nanti kalau dia mampu adalah tahap iman yang paling lemah.

No comments:

Post a Comment